Tuesday, October 6, 2020

Kenangan 2009

Tahfiz Babo


Gambar ini mungkin kelihatan biasa saja, tiada apa yang istimewa. Namun, sebenarnya ia menyimpan 1001 kenangan yang menjadi sebahagian daripada hidupku. Pada tahun 2009, selepas menduduki UPSR, aku dihantar oleh Abah dan Umi ke tempat ini, iaitu tahfiz Haji Abdullah. 

Di sini, aku belajar berdikari (walaupun ada kakakku yang ketika itu baru selesai menduduki PMR). Aku mengenal erti kesusahan, kalau selama ini makanan dihidangkan begitu saja, dimasak oleh Umi, tapi di sini kami terpaksa masak sendiri. Kebanyakan hari aku makan ikan goreng saja kerana kakakku tak pandai masak. Baju pun kena basuh sendiri (walaupun kakakku yang basuh dan jemur).

Hari pertama aku di sini, aku makan sambil menitiskan air mata. Ini cerita betul. Maklumlah pertama kali berpisah dengan keluarga, walaupun rumahku hanya 20 minit dari sini. Tapi, aku tidak dapat gambarkan segala kenangan yang aku bina di sini. Terasa sayu setiap kali teringat saat aku mengaji di sini. 

Permulaannya bukanlah mudah seperti disangka. Walaupun ketika itu aku ahli paling muda, aku banyak dimarahi oleh pengajarku yang ku panggil Babo. Hari kedua di sana, aku dihalau oleh beliau, dan disuruh mengaji dengan kakak kakak senior dulu kerana aku masih tergagap gagap. Yang sebenarnya aku takut kerana beliau dikenali sebagai seseorang yang sangat garang.

Namun, setelah beberapa hari, beberapa minggu dan beberapa bulan kemudian, bacaanku semakin lancar dan jarang ditegur oleh beliau, alhamdulillah. Aku juga banyak kali dipuji dan dibandingkan dengan orang lain. Sedikit pun aku tidak berasa bangga kerana aku pasti tujuan beliau berbuat demikian adalah untuk membuatkan orang lain lebih bersemangat untuk mengaji dan memperbaiki bacaan.

Sebenarnya, kenangan yang aku kecapi di sana tidak dapat aku luahkan melalui kata kata atau penulisan, tapi apa yang boleh ku katakan adalah, kenangan di sana adalah salah satu kenangan yang selamanya tidak akan kulupa. Tidak sekali kali, kerana ia terlalu berharga dan banyak mengajarku erti kehidupan.

Aku sempat berada di sana untuk beberapa bulan sahaja kerana aku terpaksa menyambung pelajaran ke Tingkatan 1. Babo juga telah tiada. Beliau menghadap Sang Pencipta beberapa tahun lalu. Selang sehari dengan anaknya, Abe Mud. Perasaan sedih itu sukar untuk kuungkapkan kerana mereka kuanggap seperti keluargaku sendiri.

Masih ku ingat bau persekitaran asramaku. Bau taik kambing yang masih hangat. Di rumah Babo, aku selalu ukur tinggiku menggunakan kipas siling yang tidak berapa tinggi kedudukannya. Tersalah angkat tangan boleh terputus. Hihi. Ku masih ingat aku sangat bangga dengan ketinggianku kerana walaupun aku paling muda, aku antara yang paling tinggi. 

Semua kenangan tersebut termasuk yang tidak dapat ku taksirkan melalui tulisan, akan sentiasa terpahat di sanubariku. Semoga aku istiqamah membaca al-Quran dengan bacaan yang betul sepertimana yang telah diajarkan di tahfiz tersebut. In shaa Allah. 

6 October 2020 (Tuesday)
Atas katil dalam bilikku.

No comments:

Post a Comment