21/7/2021
Tarikh tutup permohonan guru one off adalah pada hari ini. Saya dah hantar permohonan kepada SPP pada 13/7 untuk opsyen Dini. Lepas tu relaks, sampailah kawan saya bagitahu dia mohon dua opsyen iaitu Dini dan Pendidikan Islam. Sekurang kurangnya dia akan bagi kita salah satu sekiranya salah satu opsyen sudah cukup kuota. Dia akan bagi mengikut kekosongan. Allahu kalut pula saya nak mohon opsyen Pendidikan Islam. Semuanya melalui email saja. 18/7 tiga hari sebelum tarikh tutup, saya submit permohonan opsyen Pendidikan Islam. Dalam hati konfiden, kalau dapat panggilan temuduga ni, mesti dapat Dini bukan Pendidikan Islam sebab saya punya major adalah Bahasa Arab dan Pendidikan Islam adalah minor. Walaubagaimanapun, saya memang tidak konfiden dapat panggilan temuduga sebab ramai sangat calon yang minta dan semua hebat hebat belaka dengan pengalaman di universiti yang sangat lumayan banyaknya dan hebatnya. Tapi saya berdoa saja. Usaha pun sudah kan. Satu lagi sebab saya tak konfiden sebab saya was was dengan email yang saya hantar dekat SPP. Tapi was was tu perkara biasalah dalam diri saya. Semoga Allah permudahkan.
3/11/2021
Hampir tiga bulan selepas permohonan, akhirnya keputusan panggilan temuduga keluar! Masa tu saya berada di Pahang di rumah Tok Aki. Seharian saya tak main handphone sebab menyibukkan diri dengan kerja lain. Cuci peti, tolong Umi masak dan tolong Makde buat kuih untuk dijual keesokan harinya. Lepas siap buat kuih dalam pukul dua pagi, saya dan Syahadah masuk bilik solat dan bersedia nak tidur. Saya buka internet, banyak sangat mesej masuk. Mesej group dan juga personal. Barulah saya tahu rupanya keputusan panggilan temuduga dah keluar. Allahu hanya Allah yang tahu betapa takutnya dan nervousnya saya masa tu. Saya terus check, dan alhamdulillah berjaya dipanggil temuduga! Tapi! Temuduga opsyen Pendidikan Islam! Saya hampir menangis. Satu sebab berjaya untuk temuduga dan satu lagi sebab dapat opsyen yang saya kurang rela kahkah. Tapi saya tetap bersyukur memandangkan ada segelintir pemohon yang tidak berjaya untuk temuduga. Jadi bila dapat tu, sudah sangat sangat bersyukur.
Temuduga dijadualkan pada 17/11 secara online, betul betul dua minggu dari hari ini. Berkobar kobar dalam hati nanti balik rumah, nak study kawkaw. Ini adalah kerana, hanya orang di sekeliling saya yang tahu betapa terseksanya saya menjalani hari hari menunggu keluar keputusan panggilan temuduga sebab saya perlu belajar! Tapi macam mana saya nak belajar untuk temuduga kalau saya tak tahu saya dapat temuduga atau tidak. Faham tak? Saya stress sangat sangat. Saya nak sangat belajar tapi tak dapat kekuatan dan kerajinan. Tapi saya tetap beli set soalan lazim temuduga dan juga nota temuduga Cikgu Hajar. Terima kasih Umi kerana tolong beli. Hihi. Tapi masalahnya saya tak belajar pun kahkah. Jadi saya rasa sangat bersalah terhadap Umi saya.
Balik saja dari rumah Tok Aki, seharian saya tidur dan tak belajar pun. Tapi percayalah tak ada setitik pun ketenangan memikirkan diri ini perlu belajar! Keesokan harinya saya cuba bangun seawal mungkin dan belajar. Alhamdulillah dipermudahkan segala urusan. Seingat saya, dalam beberapa hari saya belajar dengan tekun sehinggalah kawan kawan saya yang sudah temuduga pada 10/11 kongsi pengalaman temuduga dia. Orang lain dalam group temuduga pun kongsi pengalaman mereka. Sejujurnya saya terus rasa terganggu sebab banyak soalan yang mereka dapat, saya tak baca pun. Lebih lebih lagi soalan dari panel panel laluan temuduga saya. Soalan mereka boleh tahan dahsyat dan lebih kepada pengetahuan am. Itu kawan kawan saya punya cerita. Jadi saya bertambah stress dan mengambil keputusan untuk tidak buka mesej group sehinggalah saya habis belajar benda yang saya dah rancang untuk belajar. Lepas tu baru saya tengok balik perkara perkara tambahan yang saya rasa perlu saya kuasai.
17/11/2021
Akhirnya, hari yang ditunggu tunggu sudah tiba. Tadi saya tidur dalam pukul dua pagi. Saya ulang balik study benda yang saya dah study sekali lagi. Kiranya final check lah. Saya sebenarnya taknak tidur sampai pagi tapi Umi pesan suruh tidur takut nanti temuduga jadi blur dan pening. Saya solat Subuh, mandi, pakai baju kurung untuk temuduga dan gosok tudung. Saya pakai siap siap terus walaupun masih awal sebab saya takut jadi kalut nanti. Tangan saya dah seram sejuk. Saya ambil semua keperluan untuk temuduga dan turun ke bilik bawah. Saya set up tempat dan duduk siap siap. Saya buka Cisco Webex dan nak masukkan nombor untuk masuk ke bilik temuduga tapi tak berjaya! Allahu okay sekarang saya menyesal sebab tak try guna dulu apps ni. Sekarang dah masalah. Saya tak boleh masuk! Saya call Kakyid untuk tanya macam mana nak masuk. Kakyid dah tolong sedaya upaya tapi masih tak berjaya. Urus setia pun dah call suruh masuk. Akhirnya saya tawakkal, saya masuk melalui Chrome dan bukan melalui apps dia yang saya dah install beberapa hari yang lepas. Adalah beberapa disadvantages kalau masuk guna Chrome seperti yang diberitahu masa talk haritu tapi saya terpaksa, kalau tak, tak boleh interview.
Bila dah masuk, urus setia check IC dan kad vaksinasi. Alhamdulillah settle dan dia masukkan dua panel untuk temuduga. Secara keseluruhan, temuduga saya okay, cuma ada bahagian yang saya rasa sangat melucukan iaitu soalan terakhir yang panel tanya saya iaitu dia tanya apa tulisan yang ada pada jata negara. Allahu apa benda jawapan dia. Sebanyak banyak benda yang saya dah baca, tak ada satu pun benda yang ditanya. Soalan semuanya KBAT dan pengetahuan umum. Okay lepas tu pasal jata negara tu, saya try jawab maksud tulisan di jata negara tu sebaik mungkin dalam nervousnya dan panel tu cakap, "Hmm bolehlah saya bagi dua markah". Saya pun ucap terima kasih dan lepas tu temuduga berakhir. Urus setia doakan kami semua berjaya dan bagitahu keputusan keluar dalam empat hingga enam minggu. Selesai saja temuduga, saya sekeluarga bertolak ke Negeri Sembilan ke rumah kakak saya. Saya enjoy sangat percutian di sana tanpa memikirkan tentang temuduga. Kalau fikir, sakit jiwa jadinya kahkah.
9/12/2021
Sibuk kemas barang untuk ke Taska Seri Kembangan dengan tujuan untuk bekerja merasakan perkerjaan pertama seumur hidup dan nak tolong kawan Umi yang memerlukan pekerja sekarang, lepas solat Maghrib saya buka internet. Tengok banyak mesej masuk. Rupanya keputusan temuduga dah keluar. Eh cepatnya! Saya temuduga Fasa 3. Result Fasa 2 pun belum keluar lagi. Anis dah mesej saya tanya dapat ke tak. Ya Allah sekali lagi jantungku berdegup kencang. Lagi kencang daripada masa nak tahu dapat panggilan temuduga ke tak. Saya bagitahu Syahadah dan dia tengok saya. Tak tahu lah apa perasaan dia masa tu. Nak check ke tak eh? Tak apa check saja. Saya cakap dekat Syahadah saya tawakkal. Saya berserah dan pasrah apa pun keputusan yang saya dapat. Dengan muka pucatnya (mungkinlah), dengan tangan sejuk dan terketar ketar, dengan jantung berdegup macam nak keluar, saya masukkan nombor kad pengenalan dan benda pertama saya nampak adalah tarikh temuduga saya dan, tahniah!
Ya Allah alhamdulillah berjaya! Begitu juga kawan kawan saya yang lain. Alhamdulillah! Okay saya menangis dan bagitahu Syahadah. Dia pun hampir menangis. Yalah tak sangka kan dapat. Lepas tu bagitahu Umi dan Umi menangis. Lepas Abah balik dari masjid lepas Isyak, Umi bagitahu Abah. Abah macam biasa lah, cool saja. Tak ada perasaan pun muka Abah tapi saya percaya Abah gembira dan bersyukur. Abah minta nak tengok surat tawaran. Abah baca. Hihi. Kesimpulannya, kami gembira tapi secara sederhana. Saya pun tak jadi ke Seri Kembangan untuk bekerja sebab nak kena selesaikan dokumen dokumen. Itulah ceritanya. Sekarang tengah tunggu e-graduan untuk isi penempatan dan tunggulah ditempatkan di negeri mana dan sekolah mana dan bila. Semoga Allah permudahkan segala urusan kita semua.
Thursday 16 December 2021
Update:
11/1/2022
E-graduan sudah dibuka, iaitu sebulan dua hari selepas keputusan lulus temuduga dikeluarkan. Hanya diberi masa selama lapan hari untuk kemaskini. Saya isi pada 12/1 sebab taknak berebut rebut isi nanti jem sebab ramai sangat yang tengah usaha nak isi kan. Hihi. Semoga Allah permudahkan. Pilihan negeri penempatan, saya serah kepada Umi. Umi cakap minta yang terdekat iaitu Kelantan dan Terengganu. Okay saya ikut. Hihi. Keputusannya diserahkan kepada Allah. Semoga Allah tempatkan saya di tempat yang terbaik buat saya. Begitu juga dengan kawan kawan saya yang lain. Usaha sudah, tinggal berserah. Banyakkan berdoa semoga dipermudahkan. Debaran menunggu pengumuman penempatan lain macam sikit.
3/2/2022
Seriouslah kalau pilihan pertama dan kedua Kelantan dan Terengganu automatik dapat Johor? Dalam group Telegram kebanyakan cakap macam tu. Pengalaman kawan dia. Itu kalau bujang. Kalau dah kahwin minta Kelantan dan Terengganu akan dapat Pahang atau Selangor. Wow berdebarnya! Saya sebenarnya okay saja dapat mana mana pun tapi bila dengar orang cakap itu ini jadi takut jugalah. Nervous. Semoga dipermudahkan.
14/2/2022
Tadi dalam pukul 11 pagi kakak saya video call dan kami borak borak. Tiba tiba kawan saya dalam group mesej cakap result e-graduan dah keluar. Wow terus tangan saya jadi sejuk. Hihi. Lepas tu saya, kakak saya dan Syahadah sama sama check keputusan. Tapi saya bagi Syahadah dan kakak saya tengok dulu. Saya nak tengok reaksi mereka. Lepas tu nampak Syahadah sengih sengih. Lepas tu mereka sama sama cakap, saya dapat SABAH! Hihi alhamdulillah ala kulli hal. Gitu. Saya okay saja di mana mana. Abah Umi saya lagi suka sebab mereka dulu pun posting di Sabah juga.