Thursday, October 8, 2020

Semester 1, 2020/2021

السلام عليكم

Hari ni dah 8 Oktober 2020, maksudnya kurang dari tiga hari lagi semester baru akan bermula, yang bermakna ini adalah semester terakhir saya belajar dan semester depan praktikal. Allahu cepatnya masa berlalu. 

In shaa Allah saya akan ambil enam subjek termasuk dua subjek minor. Nampak gayanya kena belajar online lagi sebab kes corona tiba tiba melonjak naik dan kami dinasihatkan untuk tidak kembali ke universiti dan saya pun taknak ambil risiko. 

Ada je yang balik universiti, mungkin sebab internet connection problem di rumah. Yalah online learning ni memang bergantung kepada internet kan. Semoga dipermudahkanlah urusan mereka dan juga kita.

Nervous juga rasa last semester ni sebab mungkin subjek lebih mencabar atau paling mencabarlah berbanding dengan sebelum ni. Saya bersyukur sebenarnya belajar di rumah sebab memang kalau ikutkan hati, dah taknak ke universiti dah.

Paling saya benci bila naik bas ke sana. Punya lama dan rasa tak selesa. Macam manalah saya boleh tahan ulang alik naik bas sebelum ni. Harapnya praktikal pun di sini lah. 

Apa apa pun, Allah sebaik baik perancang. Semuanya sudah tertulis macam mana kehidupan kita kan. Jadi, kita kena terus berdoa semoga semua dipermudahkan. 

P/S: Nak tengok perut kak izzah, mesti dah besar. Tak lama lagi dah nak jadi ibu dah. Semoga dipermudahkan urusan beranaknya. Aamiin. Bye!

8 October 2020 (Thursday)
Atas katil bilikku.

Wednesday, October 7, 2020

Pantai Irama & AEON Mall

Pantai Irama, Bachok

P/S: Seharian duduk di Pantai Irama dan AEON Mall. Banyak benar shopping hari tu. Kebanyakannya makananlah. Hihi. Best sangat! Walaupun dalam kesibukan siapkan report praktikum, sempat lagi enjoy tak ingat dunia kahkah.

28/8/2020 (Friday)

Tuesday, October 6, 2020

Kenangan 2009

Tahfiz Babo


Gambar ini mungkin kelihatan biasa saja, tiada apa yang istimewa. Namun, sebenarnya ia menyimpan 1001 kenangan yang menjadi sebahagian daripada hidupku. Pada tahun 2009, selepas menduduki UPSR, aku dihantar oleh Abah dan Umi ke tempat ini, iaitu tahfiz Haji Abdullah. 

Di sini, aku belajar berdikari (walaupun ada kakakku yang ketika itu baru selesai menduduki PMR). Aku mengenal erti kesusahan, kalau selama ini makanan dihidangkan begitu saja, dimasak oleh Umi, tapi di sini kami terpaksa masak sendiri. Kebanyakan hari aku makan ikan goreng saja kerana kakakku tak pandai masak. Baju pun kena basuh sendiri (walaupun kakakku yang basuh dan jemur).

Hari pertama aku di sini, aku makan sambil menitiskan air mata. Ini cerita betul. Maklumlah pertama kali berpisah dengan keluarga, walaupun rumahku hanya 20 minit dari sini. Tapi, aku tidak dapat gambarkan segala kenangan yang aku bina di sini. Terasa sayu setiap kali teringat saat aku mengaji di sini. 

Permulaannya bukanlah mudah seperti disangka. Walaupun ketika itu aku ahli paling muda, aku banyak dimarahi oleh pengajarku yang ku panggil Babo. Hari kedua di sana, aku dihalau oleh beliau, dan disuruh mengaji dengan kakak kakak senior dulu kerana aku masih tergagap gagap. Yang sebenarnya aku takut kerana beliau dikenali sebagai seseorang yang sangat garang.

Namun, setelah beberapa hari, beberapa minggu dan beberapa bulan kemudian, bacaanku semakin lancar dan jarang ditegur oleh beliau, alhamdulillah. Aku juga banyak kali dipuji dan dibandingkan dengan orang lain. Sedikit pun aku tidak berasa bangga kerana aku pasti tujuan beliau berbuat demikian adalah untuk membuatkan orang lain lebih bersemangat untuk mengaji dan memperbaiki bacaan.

Sebenarnya, kenangan yang aku kecapi di sana tidak dapat aku luahkan melalui kata kata atau penulisan, tapi apa yang boleh ku katakan adalah, kenangan di sana adalah salah satu kenangan yang selamanya tidak akan kulupa. Tidak sekali kali, kerana ia terlalu berharga dan banyak mengajarku erti kehidupan.

Aku sempat berada di sana untuk beberapa bulan sahaja kerana aku terpaksa menyambung pelajaran ke Tingkatan 1. Babo juga telah tiada. Beliau menghadap Sang Pencipta beberapa tahun lalu. Selang sehari dengan anaknya, Abe Mud. Perasaan sedih itu sukar untuk kuungkapkan kerana mereka kuanggap seperti keluargaku sendiri.

Masih ku ingat bau persekitaran asramaku. Bau taik kambing yang masih hangat. Di rumah Babo, aku selalu ukur tinggiku menggunakan kipas siling yang tidak berapa tinggi kedudukannya. Tersalah angkat tangan boleh terputus. Hihi. Ku masih ingat aku sangat bangga dengan ketinggianku kerana walaupun aku paling muda, aku antara yang paling tinggi. 

Semua kenangan tersebut termasuk yang tidak dapat ku taksirkan melalui tulisan, akan sentiasa terpahat di sanubariku. Semoga aku istiqamah membaca al-Quran dengan bacaan yang betul sepertimana yang telah diajarkan di tahfiz tersebut. In shaa Allah. 

6 October 2020 (Tuesday)
Atas katil dalam bilikku.

Kenangan SMKGP

Banyak kenangan yang tercipta sepanjang saya jalani praktikum di SMKGP. Saya akan sentiasa rindukan sekolah tersebut dan juga penghuninya. Dapat majalah sekolah free. Yahoo!

5 Intan, nampak macam nakal tapi sebenarnya baik sangat sangat.

1 Cempaka, kena jerit baru dengar suara cikgunya, kalau tidak riuh rendah dengan suara mereka saja.

Jaga exam 5 Delima, alhamdulillah semua behave.

2 Cempaka, kelas paling bagus menurutku.

Nampak tak semua behave sangat, pelajar beginilah yang diimpikan oleh guru.

Kenangan bersama guru SMKGP, semua sporting tengah makan sempat lagi stop untuk ambil gambar.

Bersama guru praktikum dari USM aka kawan sekolah rendahku.

Penghargaan buat PKP, sangat easy-going orangnya.

6 October 2020 (Tuesday)
Dalam bilikku.

Lagu Sekolah: SMKGP

SMKGP SEKOLAH TERCINTA

SMKGP sekolah tercinta

Terbina di celahan desa

Kebanggaan kami semua

Permai dan ceria

Para guru ibu dan bapa

Bimbing kami sepanjang masa

Pada Ilahi doa dipinta

Berkati kami di mayapada

Pendidikan membina insan

Berkualiti juga cemerlang

Kerajinan dan keikhlasan

Dedikasi jadi amalan

Ayuh teman mari semua

Tekad dan semangat kita nyalakan

SMKGP sekolah tercinta

Namamu kan harum dijulang

Rindu SMKGP

Hari ini sudah masuk dua minggu lebih aku meninggalkan sekolah tempat aku menjalani praktikum. Bukan senang untuk aku melupakan segala kenangan yang terbina di sana. 

Kali pertama aku menjejakkan kaki di sekolah tersebut dan bertemu dengan mereka, tidak dapat dinafikan aku sangat kekok dan masih malu malu. Akan tetapi, layanan mereka yang sangat baik membuatkan aku semakin selesa dan tidak terasa terasing. 

Ia adalah satu kenangan yang sukar untuk dilupakan kerana itu adalah pertama kali aku keluar dari zon selesaku dan harus bertemu dengan orang orang baru dalam hidupku. Aku amat sayang akan pelajar pelajar di sana. Mereka sangat baik dan elok budi pekerti walaupun ada sesetengah daripada mereka yang sukar untuk ditangani. 

Mereka adalah pelajar pertama dalam hidupku. Masakan dapat kulupakan keletah mereka. Semoga mereka menjadi insan berjaya di dunia dan di akhirat. Semoga mereka dapat mencapai apa yang diimpikan. In shaa Allah.

Guru guru dan pekerja sekolah juga sangat baik. Murah senyuman dan tidak keberatan untuk berkongsi maklumat dan menjawab persoalanku. Pada dua minggu pertama pembabitanku di sekolah itu, aku adalah satu satunya guru praktikum di sana. Kekoknya hanya Allah yang tahu. 

Satu hikmah aku menjalani praktikum di sana adalah aku dapat berjumpa sahabat lamaku ketika di sekolah rendah. Tidak pernah ku jangkakan perkara ini akan berlaku. Kami banyak mengimbau kisah lama yang membuatkanku rindukan sekolah lamaku. 

Banyak juga ilmu pengetahuan yang sempat kutimba sepanjang lima minggu di sana. Aku dapat melihat bagaimana sistem sekolah tersebut, komunikasi antara pelajar dan guru dan banyak lagi. Terima kasih ya Allah atas peluang keemasan yang telah kau berikan kepadaku. 

Aku harap semua ini sedikit sebanyak membantuku dalam menempuhi alam pekerjaan dalam profesion perguruan suatu hari nanti. In shaa Allah. 

Monday, October 5, 2020

Usop Is The Best

Selama lapan minggu program realiti Big Stage bersiaran, tak pernah satu minggu pun saya tak tonton. Dari awal saya minat nyanyian Usop. Memang sangat sedap didengar. Yang teknik apa semua saya tak kisah pun. Asalkan sedap dengar saja. 

Saya rasa persembahan Usop konsisten dari minggu awal lagi. Antara favorite saya adalah bila Usop nyanyi lagu Selamanya, Bukan Ku Tak Sudi, Senja Nan Merah, Peluang Kedua dan Hati. 

Semalam Big Stage sudah menutup tirainya di mana juaranya adalah Azzam Sham. Dia pun antara peserta kegemaran saya. Kalau nak bandingkan Usop dengan Azzam Sham semalam, kalau lagu fast best memang Azzam lah yang lagi menyerlah dan sedap. Tapi kalau lagu slow beat, Usop lagi sedap. Penghayatan dia sangat mendalam. 

Tapi apakan daya. Takdir sudah tertulis bahawa Usop menjadi naib juara. In shaa Allah rezeki melimpah ruah di luar sana. Tempat ketiga adalah Qody Rany, tempat keempat Dinie Rashid dan tempat kelima Fadh Majid. 

Peserta kegemaran saya yang terakhir adalah Fadh Majid. Lagi lagi masa dia nyanyi lagu Mentera Semerah Padi, dengan bersilatnya. Wow memang padu. Final pun dia best, cuma rezeki dapat tempat terakhir. Tak apalah. Ini cuma platform untuk mereka kembali aktif dalam industri seni kan. Semoga dipermudahkan segalanya. 

Ini kali pertama saya layan Big Stage sebab semua season lepas saya berada di universiti. Jadi tak ada masa untuk tengok. Sekarang kan sedang beradu di rumah dan tak ada kerja jadi bolehlah layan. Hihi. 

Sedih pula rasanya sebab Big Stage dah habis. Dengar kata Usop dah nak akhiri zaman bujang tak lama lagi. Semoga dipermudahkan. Azzam Sham pun dah ada girlfriend. Selamat maju jayalah semuanya. Bye! 

P/S: Sila buka YouTube dan cari Usop nyanyi lagu Mama Papa Larang. Memang sedap! Tengoklah semua nyanyian Usop dari Mentor hinggalah yang sekarang. Tak rugi dek. Okay bye!