Wednesday, October 2, 2024

RINDU YANG TAK TERUNGKAP

Assalamu'alaikum WBT.

Berapa pun umurmu, kamu tetap membutuhkan figura seorang ibu dan bapa dalam kehidupan. Sejujurnya saya sangat merindui Abah dan Umi yang jauh nun di Semenanjung. Siapa saja yang tidak rindukan ibu bapa mereka kan? Saya tidak pernah berpisah dan tinggal berasingan dengan mereka sehinggalah saya masuk ke universiti. Hanya Allah SWT yang tahu betapa seksanya saya setiap kali terpaksa kembali ke universiti bila habis cuti. Tidak pernah diri ini bebas daripada linangan air mata setiap kali menaiki bas. Kalau pun saya tidak menangis ketika melambai tangan buat kali terakhir sebelum bas bergerak, saya akan menangis di bilik mahallah ketika mengemas barang di dalam almari. 

Apatah lagi sekarang saya di sini jauh terpisah di Sabah. Abah dan Umi tetap nombor 1 dalam hidup saya. Pernah saya di meja saya di bilik guru, tiba-tiba teringat Abah dan Umi, dalam keadaan yang sangat merindui mereka, saya menangis tanpa segan silu. Mungkin budak pelik kenapa ustazah tiba-tiba buat drama air mata tapi itulah saya. Saya tak dapat menahan rindu terhadap Abah dan Umi. Semoga Allah memberi kesihatan terbaik kepada Abah dan Umi dan semoga mereka dilindungi daripada segala kemudaratan. Semoga Allah permudahkan segala urusan mereka dan memberi kudrat untuk mereka melakukan segala aktiviti dengan sebaik mungkin. 

Apapun yang saya buat, mereka tetap menjadi rujukan terbaik saya. Kadang saya terfikir, macam mana dahulu kala saya sanggup menyusahkan Abah dan Umi dengan perangai saya yang tidak semenggah. Macam mana saya tergamak buat begitu kepada mereka. Jasa dan pengorbanan mereka takkan saya dapat balas walaupun dengan wang ringgit. Saya rasa masa terbaik saya adalah bila bersama dengan mereka. Saya sangat bersyukur diberi peluang untuk berlama-lama dengan mereka dan berkhidmat kepada mereka sebelum posting dahulu. Maafkan anakmu ini kerana sentiasa menyusahkan hidup Abah dan Umi.

Kota Marudu, Sabah.

No comments:

Post a Comment